67.1kg (start diet 14.1.2017)--)time to run now until 50kg

Thursday, 6 July 2017

Chapter 11 : Harus Aku ---> Lumpuh !!!


Hujan masih berderai tatkala jam sudah menginjak 1.30 pagi di bumi Al Maad. Gelisah seketika di kamar tidur “single”. Di bilik sebelah, kedengaran dengkuran suami serta lenanya anak-anak terunaku bagaikan melabuhkan tirai sepi malam. Aku masih terkesima di pembaringan. Susah untuk kulelapkan mata. Neem leave oil Dr Luqman yg masih melekat di seluruh anggota tubuhku benar-benar membuatkan aku derita untuk menutup mata. Kain batik kewajipan untuk menutup bantal kepala dan ruang pembaringan. Tubuh badan yg hanya bertemankan kain batik cuma sudah akrab menjadi teman sebati.

'Allahuakbar…Allahuakbar…Allahuakbar…La.ila..ha illallah..”..

Ku diasak kenangan momen malam raya 24 Jun 2017. Malam yang penuh syahdu melafazkan takbir raya. Aku masih bertahan untuk berpakaian sempurna mungkin di ruang legar rumah mertuaku. Diasak keramaian adik beradik suami,hati disapa gembira. Sudah lama tidak bersua dengan ahli keluarga suami.

Syahdu juga bila terkenang saat terakhir petang 24 Jun 2017 bersalam dengan ayahandaku

'Mohon izin pulang ayah ikut suami. Ampunkan dosa-dosa mia..halalkan makan minum mia…terima kasih atas segalanya,” sebak walaupun tiada tangis air mata.

Ayah menyambut huluran salam dan berkata 

"Dah nak balik ye…pergilah,”

Suatu ketika aku adalah milik ayah dan ibu. Namun hari ini hakikatnya aku adalah milik hakiki suami. Noktah perjalanan seorang “wanita”. Syurga sememangnya di bawah tapak kaki ibu….Namun syurga seorang isteri mutlak di tangan “suami”. Hakikat hukum yang ditentukan.


Mendengar lagu Aidilfitri berkumandang, aku tersenyum saat Hari Raya Aidilfitri pertama menjelang. Betapa indahnya ukhuwah sebuah keluarga dapat bersalam-salaman.  Untuk apa aku berduka di saat Allah menghadirkan lebaran untuk diraikan….Ya,aku harus kebalkan hati melawan “psoriasis” yang kian mula menular, mengharungi segala syahdu di jiwa.

Perjalanan demi perjalanan Hari Raya kulalui dengan semangat penuh tabah,ku aurakan senyuman pada semua insan…ku gagahi langkah demi lebaran yang satu……Namun ternyata aku telah lumpuh akhirnya. Lumpuh akibat tidak berpantang dari daging dan telur serta bahan perisa ayam yang memenuhi ruang selera Aidilfitri. Lumpuh pabila psoriasis dr kulit kepala menjamah ruang muka,leher,tubuh badan depan belakang,lutut,peha,siku,kaki....segenap tubuh bermain rona bercak merah psorasis.....seakan aku ibarat dihinggap sisik ikan.

Tidak aku menyalahkan sesiapa…
Sememangnya aku ditakdirkan untuk menjamah ikan semata (yang tidak gatal) serta sayur yg dibenarkan saja kecuali terung,bendi,labu,kekacang. Tak perlu aku menunding jari atas ketiadaan “ikan” di pagi raya..Itu fakta yang tak boleh disangkal. Salah nafsu aku sendiri kerana tidak berpantang,malah memaksa diri mengikut arus kala bertandang di rumah orang untuk beraya dan seboleh mungkin aku tiada pilihan lain selain makanan berasaskan telur dan daging.


Gelisah menghantui diri kala kegatalan mula mendatang….Ku lihat bercak bercak merah memenuhi semula ruang seluruh anggota badan sehingga aku jadi takut..nanar melihat kulit tumbuh di sekeliling muka,namun masih dapat ditutupi dr pandangan mata semua pabila aku bertudung. Terima kasih Allah.

Saat Ramadhan aku masih dalam set 4 rawatan Luqman Herb Centre,aku terasa bagaikan kesembuhan mula menjelma…kini setelah Hari Raya ke 4 detik detik derita menimpa semula…kepedihan membuatkan aku terpaksa mengoles olive oil semula di seluruh tubuh. Panas…pijar..tidak selesa…Itu sudah pasti. Namun insan yg melihat tidak merasai…Hanya aku saja yang mengalami….Terlambat dan dicop lembap itu seringkali menjadi mainan bibir terhina jiwa.

Pernah ada seorang sahabat berkata selepas Hari Raya berakhir seminggu lalu

'Syukur mia,nampak ko makin sembuh,”

Aku mampu tersenyum. Fakta itu auta semata!

Sesungguhnya kita seringkali menilai luaran berbanding dalaman pesakit.Bukan begitu??

Bercakap tentang dosa…Ya, manusia mana yang tidak berbuat dosa. Aku juga tidak terlepas dr bahana kejahatan yang mungkin aku telah lakukan tanpa aku sedar….Hati aku mudah terguris..mudah terusik pabila ada yg mengatakan

'Mia…ble sakit ni kita perlu renung semula…mungkin betapa banyak dosa kita dengan Allah,”

Ya..itu aku tahu…tapi aku jadi luluh jiwa ble saat kedengaran

'Mungkin ko dapat sakit ni bahana ko menderhaka,Mia...bersihkan hati yang kotor…cuci jiwa yang negatif”

Hm..? Jiwa aku merintih. Cuba bermuhasabah walau tangisan makin deras. Luluh.

Derhaka pada ibubapa?

Derhaka pada suami? 
Derhaka pada keluarga sendiri?
 Derhaka pada keluarga mentua? 
Jahat sangatkah aku nie? 
Perlu ka semua orang menunding akulah pendosa tegar itu…
Tidakkah yg bercakap itu juga terpalit dosa selaku manusia.


Ya Allah,aku letih….aku lelah untuk menghadapi semua kelumpuhan sakit dan jiwa ini. Bantu aku kembali ke jalan-Mu….aku seakan merasakan tiang ketahanan ku semakin goyang walaupun adakala nampak kukuh. Adakala aku penat untuk menjaga hati semua yang aku sayang….aku semakin goyah untuk berkorban demi menjaga hati orang lain sedangkan hati aku terseksa.

Peluklah aku sebentar Ya Allah ! Peluklah aku…

Perkuatkanlah hati dan jiwa aku untuk memahami erti “redha.

Jangan kau lumpuhkan aku ya Allah…


Kedua-dua sayap aku yang dahulunya disemai baja hidup subur…Kini cuma menanti masa untuk patah. Tidak tahu sampai bila sayap itu akan bertahan. Adakah sayap itu akan utuh seperti dahulu? Aku sedang berusaha mencari jawapan sambil memandang ke atas mengharap sinar akan kembali meskipun ia akan hadir lewat bukan pada jangka yang ada.


Huhuhuhuhu…………………………..Bunyi tangisan di bilik sebelah menyentak lamunan jiwa. Tanpa sedar air mata membasahi ruang bantal. Segera ku bancuh susu untuk anak keduaku Md Zakiy (setahun 4 bulan). Suami bergerak-gerak tersedar,namun masih menutup mata.

Memandang suamiku….aku sendu berlagu.

Sebak

‘Abang,ampunkanlah dosa isterimu ini yang penuh kekhilafan….dosa isterimu ini yang seringkali mengabaikan dirimu zahir dan batin….dosa isterimu yang tidak mampu menjadi cantik sempurna isteri diharapkan…dosa isterimu yang menjengkelkan kata-kata….dosa isterimu yang sentiasa meledakkan amarahmu…dosa isterimu yang kurang mengangkat kebaikan mu….dosa isterimu yang membuka aurat….dosa isterimu yang menyakiti hati dan jiwa ragamu…..dosa isterimu yang banyak menyusahkan derita hidupmu. Wahai suamiku…ampunilah aku hari hari kte bersama agar jika aku pergi…aku akan pergi dengan setenang mungkin……,”

Terduduk aku memandang suamiku….Tanpa sedar,dia terjaga

‘Eh,mia …kenapa tak tidur lagi? Tak habis lagi sakit ke dengan minyak tu?,” Soalan yang selalu suamiku tanyakan…Ya,dia sudah lali..sudah biasa memandang aku yang semakin menggerikan kulit kulitku.

‘mia ok…nak tidur dah…baru hilang minyak nie….abang tidolah,”

Memasuki bilik sebelah….aku menangis sepuas-puasnya. Ingin sahaja aku katakan kepadanya

‘Abang….sampai bila abang mampu bertahan? Sampai bila abang akan terima Mia? Sampai bila abang akan sayangkan Mia? Sampai bila abang akan bahagia? Sampai bila Mia tak kan susahkan kehidupan abang? Andai ada jalan pengakhiran yang mungkin membawa kebahagian buat abang….lepaskanlah Mia..agar abang bisa bahagia,”

Istighfar….isghtifar….!!!
Perkataan itu boleh menggegarkan tiang arashy….Aku sedar dalam pasrah!!!
Allah,selamatkanlah rumahtangga aku….

‘Wahai ayah….wahai ibuku….kalau diputarkan kembali…ingin sahaja aku minta Allah menjemput aku agar aku tidak membebankan kalian….namun aku masih bertahan atas nasihat dan kekuatan yang kalian berikan untuk aku bersabar,’


Saat ini aku mulai kelam pandangan….
Aku ingin rebah di hadapanmu Allah….
Tidurkanlah aku dengan tenang meski olesan minyak melekat pedih liang kulit….menyesakkan kegatalan aku menggaru kulit yang adakala bisa berdarah….

Jam 2.30 pagi…Kelam….Noktah.

Esok? moga jiwa terubat kembali…moga langkah menjadi kebal …sekebal senyuman di hadapan semua…..S.M.I.L.E





Pena Tinta Maya,










Terima Kasih Sudi Baca story Tinta Pelangi Mia Zara Ina

 
♥ Copyright © 2013 reserved to Myself. Template Edited by Cik Rose Cute