Sabar dalam menghadapi ujian itu buahnya manis. Masalah. Sebenarnya setiap orang tidak akan terlepas daripada menghadapi masalah selagi hidup di dunia ini. Sehingga wujudnya statement extreme yang menyatakan bahawa;
“hidup ni hanyalah untuk menyelesaikan masalah.. lepas satu masalah selesai, masalah lain pulak yang akan datang, penat! Seolah-olah hidup ini hanyalah untuk menyelesaikan masalah semata-mata.”
Tidak dinafikan, perasaan sebegini akan hadir dalam diri kita yang
sudah terlalu penat dan lali berhadapan dengan masalah. Apatah lagi
masalah yang dihadapi itu terlalu berat dan sudah tidak tertanggung
lagi. Ungkapan sabar dan kata-kata semangat dari orang sekeliling
seolah-olah tidak punyai makna lagi. Sehingga kita merasa, tidak ada
orang dalam dunia ini yang paling besar masalahnya selain daripada kita.
Masalah kitalah yang paling besar dan berat sekali. Tidak akan ada
orang yang memahami apa yang kita rasa. Pandangan simpati daripada
sahabat handai hanya sekadar pandangan kosong yang tidak punyai apa-apa
makna.
Begitulah analogi beratnya perasaan yang dirasa apabila diri
ditimpa masalah. Apatah lagi apabila masalah yang datang itu
berangkai-rangkai. Belum selesai lagi satu masalah, masalah lain pula
yang datang. Kekadang mengundang sesak di dada dan rasa hidup sudah
tidak punya alasan lagi untuk merasa ceria dan gembira. Malah lebih
teruk, kita merasakan diri sudah tidak punyai apa-apa lagi, kesabaran
menipis, gunung berapi kemarahan mudah meletus dan kepercayaan bahawa
Allah sentiasa menolong hamba-hamba-Nya yang sabar sudah mulai goyah.
Maka, di sinilah hati dan fikiran kita punyai peranan yang penting.
Andai hati dan fikiran itu terpandu dan sentiasa berfikiran positif
dalam menghadapi kegawatan perasaan, hati, fikiran malah tenaga yang
dimiliki, untunglah. Tapi, seandainya fikiran dan perasaan negatif
sentiasa menyucuk minda dan menghasut hati, maka, rasa berputus asa akan
mudah untuk menjengah jendela hati yang terbuka. Sehingga pengharapan
dan keimanan kepada-Nya semakin menipis. Ditambah pula dengan amalan
ibadah harian yang kurang sempurna.
Teman, masalah itu adalah satu bentuk ujian dan dugaan daripada Allah
S.W.T. untuk kita membuktikan sejauh mana kebenaran dan utuhnya
akujanji iman kita kepada-Nya.
Firman-Nya yang bermaksud;
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya; “bilakah (datangnya) pertolongan Allah?”. Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah.)
(Al-Baqarah: Ayat 214)
Dan dalam firman-Nya yang lain;
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Al-Ankabut: Ayat 2 – 3)
Teman, diuji dengan ujian kepayahan itu sangat sukar untuk dihadapi.
Apatah lagi ujian berbentuk masalah itu datang ke kamar diri tanpa
mengetuk pintu. Apatah lagi andai kita diuji dengan sesuatu masalah yang
sangat sukar untuk diselesaikan. Terasa seolah-olah masalah yang
dihadapi tidak sekali-kali dapat diselesaikan dan tiada penghujungnya.
Apatah lagi ujian itu bertandang ke dalam diri dalam jangka masa yang
lama. Bukan sehari dua, bukan seminggu dua, bukan juga sebulan dua,
tetapi bertahun-tahun. Maka, kesabaran pasti akan menipis. Andai kata
kita memang dianugerahkan kesabaran yang tinggi; ketabahan yang luar
biasa sekalipun, pasti terdetik dalam hati kita untuk mempersoalkan
kewajaran ujian yang dihadapi.
Ya.. kita memang manusia yang lemah, manusia yang alpa, manusia yang
lalai, malah manusia yang punyai nafsu. Perasaan sebegitu adalah normal
teman. Normal kerana manusia memang dilahirkan sebegitu. Pada saat ini,
janganlah sekali-kali melayan prasangka-prasangka buruk yang timbul di
dalam hati. Didiklah hati, nafsu dan fikiran untuk bersabar. Bagaimana
untuk meningkatkan kesabaran? Perkara sabar bukanlah senang untuk
dilaksanakan sebagaimana ia senang untuk diperkatakan. Sabar itu sukar.
Apatah lagi apabila nafsu sentiasa membelai diri kita yang negatif
sehingga kita tegar untuk meremehkan urusan ibadah kepada-Nya. Kesannya,
nipislah iman kita yang sedia nipis itu.
Teman, sesungguhnya kita memang sudah sedia maklum. Tiada jalan lain
untuk menangani masalah yang dihadapi, tiada cara lain yang ada untuk
meningkatkan kesabaran dan memperkukuhkan iman di dalam diri selain dari
mendekatkan diri kita kepada Allah. Tiada jalan lain selain daripada
menjaga hubungan kita dengan Allah S.W.T. Pencipta kita yang Maha Agung.
Pencipta kita yang Maha Lembut, Maha Pemurah, Maha Pengasih dan Maha
Penyayang. Sungguh. Tiada cara lain selain daripada menjaga hubungan
kita dengan Allah S.W.T.
Firman-Nya yang bermaksud;
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahu akan tiap-tiap sesuatu)”
(At-Taghaabun: Ayat 11)
Pada saat kesabaran dan iman makin menipis, maka dirikanlah solat dan
berdoalah kepada-Nya agar kita sentiasa dikurniakan kesabaran dan
ketabahan yang tinggi untuk menghadapi ujian dan dugaan-Nya. Mohonlah
kepada-Nya untuk membantu kita untuk terus istiqamah dalam beribadah
kepada-Nya, diberi kekuatan untuk bermujahadah melawan segala jenis
nafsu. Kerana, sesungguhnya hanya Dia yang Maha Pelindung dan Maha
Mengabulkan doa-doa hamba-Nya. Gunalah slogan yang popular itu; “lawan tetap lawan!” dalam bermujahadah. Iman manusia seperti kita memang sentiasa fluctuate. Jangan risau, apa yang perlu dilakukan ialah berusaha dengan jalan yang sabar.
Firman-Nya yang bermaksud;
“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”
(Al-Baqarah: Ayat 153)
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”(Al-Baqarah: Ayat 45)
Dari itu, jagalah hubungan kita dengan Allah S.W.T maka insya Allah
Dia akan menjaga dan menolong kita. Insya Allah, keyakinan dan keimanan
kepada-Nya juga akan dapat dipertingkatkan. Titipkanlah doa di akhir
setiap solat agar Dia memberikan kekuatan kepada kita untuk terus
istiqamah dalam beribadah serta kekuatan untuk bermujahadah melawan
kemungkaran.
~Dunia ini merupakan neraka bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang-orang yang ingkar.
~Sesungguhnya ujian yang hebat hanya diberikan kepada orang-orang
yang hebat.
Maka, bertuahlah orang-orang yang menerima ujian yang maha
hebat dan dapat menempuhinya dengan sabar dan jayanya kerana ia
merupakan satu latihan dan persediaan untuk mereka menjadi orang yang
lebih hebat.
~Sentiasalah berfikiran positif dan berada bersama dengan mereka yang
berfikiran serta mempunyai sikap yang positif. Ia akan membantu kita
untuk menjadi lebih positif dalam mengharungi ujian kehidupan.
~Perspektif yang positif ini memang ubat yang mujarab dalam
menghadapi ujian kehidupan, malah ia akan membantu kita untuk mencerap
hikmah yang diperolehi daripada setiap ujian. Anggaplah ujian dan dugaan
yang diberikan itu sebagai kafarah kepada dosa-dosa kita. Insya Allah
kita akan lebih redha dan bersyukur dalam menghadapi ujian kesukaran
apatah lagi ujian kesenangan dalam kehidupan.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud;
“Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.”
(Al-Fajr: Ayat 27 – 30)
Semoga kita semua sentiasa dalam redha dan limpahan rahmat-Nya.. aamiin~
Memakna Rasa,
1 comments:
terima kasih sudi singgah blog kita..