My Journey to get Normal Weight

LilySlim Weight loss tickers

Welcome to my Blog


Monday 27 February 2017

CHAPTER 4 : Maaf Bila Ku Tak Sempurna


Saya berulang kali menulis bahawa ujian sakit adalah ujian untuk semua. Bukan hanya untuk orang yang ditimpa sakit sahaja, tetapi pasangan, ibubapa, adik beradik, sanak saudara, sahabat handai, jiran tetangga. Semua.
Suatu hari di hospital, saya berjumpa semula dengan seorang makcik yang sama wad dengan saya. Beliau menjaga anaknya yang mengalami Traumatic Brain Injury, berpunca dari kemalangan motorsikal. Akibat kemalangan itu, anaknya kini tidak boleh berjalan, pendengaran terjejas, juga penglihatan.
Makcik ini pernah berkata pada saya, 
“Kalaulah doktor kata mata anak makcik ini boleh diganti dengan mata lain, makcik memang nak bagi sebelah mata makcik ni. Biarlah anak makcik boleh melihat. Makcik ni entah berapa tahun saja lagi hidup”
Allahuakbar. Ujian anak, ujian seorang ibu.
Ada juga seorang yang saya bertemu di hospital, seorang pegawai yang menjaga isteri yang strok. Selalu saya perhati, selepas waktu kerja dia datang membawa anak-anaknya. Kemudian dia bawa isteri ke bilik air untuk dimandikan. Ujiannya bukan setakat itu. Seorang anaknya pula ialah anak istimewa, cerebral palsy. Bayangkan bagaimana dia perlu menjaga 2 orang yang kurang upaya jika di rumah. Dengan keadaan dia yang perlu bekerja mencari nafkah lagi. Menjaga orang sakit lagi.
Ujian isteri, suami dan anak.
Ada juga yang mengadu pada saya, apabila suami jatuh sakit, keluarga suami memaksa mereka tinggal di rumah mereka (keluarga suami). Yang menyedihkan, mereka menolak diteruskan rawatan hospital. Tapi dipanggil tok bomoh pula untuk menghalau segala jin yang membawa penyakit pada suaminya itu, katanya.
“Dengan saya saya pun sekali ada jin kata tok bomoh itu” Adu beliau. Hampir seluruh keluarga suaminya hanya percaya kepada bomoh.
Aduhai, ada lagi orang begitu rupanya dalam masyarakat kita sekarang. Saya dengar macam tidak percaya.
Ini sudah masuk ujian pada akidah pula.
Tapi yang paling menyedihkan, apabila dari hal sakit ini, membawa kepada perceraian. Ya, saya biasa sekali mendengar hal suami yang tinggalkan isteri apabila isteri jatuh sakit. Ada juga yang ditinggalkan isteri apabila diserang strok. Macam-macam. Cuma hati saya tidak tertahan apabila mendengar pasangan yang dipaksa bercerai.
Apabila sudah jatuh sakit, dapat pula segala duit insurans atau pampasan, ada pihak yang mula gelap mata. Mula ambil kesempatan. Kasihan isteri dan anak-anak yang perlu nafkah untuk terus hidup. Tambah kasihan, si isteri sudah menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin. Dibawa rawatan ke sana ke mari. Tetapi apabila sudah dipaksa berpisah, suaminya itu kini terlantar tanpa penjagaan sebaiknya.
Begitulah. Ada banyak kisah yang saya simpan. Ada juga yang saya kongsi untuk panduan kehidupan kita semua. Banyak yang kita boleh ambil pengajaran. Episod hidup kita sendiri esok lusa tidak tahu bagaimana. Seperti yang saya katakan tadi, bila sudah ditimpa sakit, bukan ujian untuk yang sakit itu sahaja. Tetapi ujian untuk semua. Semua. Persiapan menempuh semua itu, tentulah di waktu kita sihat dan selesa begini. Mudah-mudahan, kita bersedia.
Wallahu’alam.

Terima Kasih Sudi Baca story Tinta Pelangi Mia Zara Ina

0 comments:

 
♥ Copyright © 2013 reserved to Myself. Template Edited by Cik Rose Cute