My Journey to get Normal Weight

LilySlim Weight loss tickers

Welcome to my Blog


Monday 2 September 2013

Bahagiakan Hidup Kita Dengan Memberi....

Kita sebenarnya lebih suka menerima dari memberi. Penerimaan lebih kita hargai daripada kita memberi pada seseorang. Lihat bagaimana Allah ciptakan kita dan aturkan kehidupan kita di muka bumi ini. Kita sering sahaja lalai dan alpa di dalam urusan dunia tetapi bila kita kembali kepada Allah, Allah tidak pernah melupakan kita bahkan rezeki yang dikurniakan kepada kita lebih banyak dari yang kita ada sebelum ini. Allah terus memberi tanpa kita meminta. Allah terus mengurniakan nikmat pada kita walau Allah sering kita lupakan.

Lihat di luar sana peminta sedekah begitu banyak dan semakin ramai. Mengapa hal ini berlaku. Terkadang timbul risau di jiwa dengan kehadiran golongan ini. Saya tidak sesekali menghina golongan ini. Tetapi apa yang mendukacitakan saya, terdapat segelintir di antara mereka yang menggunakan kecacatan yang ada untuk menagih simpati manusia. 



Bayangkan dengan mengutip sedekah sahaja mereka mampu memperoleh pendapatan yang lumayan di dalam masa sehari. Kita doakanlah moga mereka diberikan hidayah. Biarlah kita bersangka baik dengan mereka. Sekiranya kita selalu bersangka buruk dengan orang lain bermakna hati kita juga buruk! Sebagai manusia yang punya hati nurani ini, saya begitu tersentuh melihat anak-anak kecil yang terpaksa bersimpul menadah bekas-bekas kosong dan tin-tin kosong, dengan pakaian yang lusuh setia menanti untuk menerima ehsan dari kita.

Mengapa ya agaknya Allah menghadirkan mereka kepada kita? Apa yang direncanakan  Allah dan dijadikan Allah semuanya baik dan penuh hikmahnya, walau buruk pada pandangan kita tetapi tidak pada Allah. Allah maha mengetahui. Sebenarnya pada mereka ada lubuk untuk kita membuat pahala. Pada mereka ada berjuta rasa untuk kita menyemai sifat ikhlas dan berjasa. Jangan sesekali kita mengharapkan penghargaan apabila memberikan sesuatu tetapi nantikanlah ganjaran kita di sana nanti. Saya sedih apabila golongan seperti ini datang kepada kita dan kita terus berlalu dan ada yang tega menghalau mereka dengan kata-kata kesat. Siapa kita untuk merasa bangga menghina kehidupan mereka? Siapa kita untuk memperlekehkan habuan yang mereka terima?

Allah itu maha segala maha. Udara dan tubuh yang kita ada ini pun hanyalah pinjaman dari Allah. Kita tidak layak untuk merendahkan orang lain dan menghina orang lain. Mereka lubuk kita untuk menabur pahala. Saya yakin pembaca semua tahu tentang kuasa apabila kita bersedekah. Ganjarannya hebat dan mampu memberi berkat pada hati yang sudah berkarat! Berilah seberapa nilai yang kita ada. Sedekahkan kepada mereka. Jangan sesekali kita berkira. Walau tidak banyak tetapi setidak-tidaknya kita memberi. Ingat walau sebesar zarah akan dinilai amalan kita di sana nanti.



Tidak cukup dengan senyuman tetapi berilah sedikit imbuhan kepada mereka. Jangan lokek untuk memberi kerana ia penuh hikmah yang tersembunyi. Saya akui, tika saya dalam kesempitan ada rezeki yang Allah berikan bahkan melimpah dari apa yang saya keluarkan dulu. Saya yakin rezeki ini hadir ketika mana saya membantu golongan seperti itu. Walau tidak banyak tetapi Allah telah berikan ganjarannya kepada saya. Alhamdulillah. Mungkin mereka juga telah mendoakan kesejahteraan saya.

Itulah sedikit perkongsian saya kepada pembaca semua. Bahagiakanlah hidup kita dengan memberi.

Allah itu adil sifatnya, apa yang kita lakukan kepada orang lain pasti akan di balas kepada kita kalau bukan kita mungkin kepada ahli keluarga kita. Jadi berhati-hati di dalam ‘menerima’ sesuatu yang diberikan.  Bahagia itu perlu di cari dan perlu dibawa bersama di dalam kehidupan kita

Saya ingin menyentuh sedikit berkaitan soal rumah tangga. Ramai di antara mereka mengimpikan kebahagian di dalam rumah tangga tetapi tidak melaksanakan apa yang di perintahkan Allah. Aurat, maruah, tingkahlaku semuanya perlu dijaga. Jika kita sayang kepada pasangan kita, peliharalah aurat kita jangan kita mengheret sesekali mereka ke neraka!. Di dalam perkahwinan kebahagian itu bukan hanya perlu di cari tetapi perlu di bawa bersama. 


Teringat saya pada kata-kata hukama ~Jangan mengharapkan kebahagiaan di dalam rumahtangga tetapi, bawalah kebahagiaan di dalam rumahtangga itu, jangan mencari isteri yang cantik tetapi lihatlah kecantikan yang ada di dalam diri isteri itu. Suami selalu mengharapkan isterinya memberi sesuatu tetapi dia sendiri tidak memberi dan membantu isterinya. Bagaimana hendak bahagia andainya isteri sahaja yang memainkan peranannya. Suami juga harus bersama bergandingan dengan mereka dalam membentuk rumah tangga cerminan syurga.

Alam perkahwinan ini ibarat permainan bola. Jika kita hendak menang sehingga tamat perlawanan kita harus mempunyai strategi yang mantap, kesepaduan yang utuh, dan kehebatan dari setiap posisi. Tidak guna kita mempunyai penyerang yang hebat andainya benteng pertahanan mampu dipatahkan, tidak guna kita punya penjaga gawang yang menonjol seandainya barisan serangan masih tumpul! Kita tidak mampu menang mungkin hanya sekadar seri di dalam perlawanan. 

Begitulah kehidupan di alam rumah tangga. Saling melengkapi. Saling menghargai dan saling bersatu hati. Perkahwinan itu indah andai kita dan dia punya hati yang tabah, hati yang mampu melawan setiap rencah, hati yang setia jika ada bahtera yang meredah, hati yang pasrah jika ada ujian yang menadah. Bahagia itu akan datang jika setiap apa yang kita lakukan itu hanya kerana Allah.






 Perkongsian Ilmu,
 






Terima Kasih Sudi Baca story Tinta Pelangi Mia Zara Ina

0 comments:

 
♥ Copyright © 2013 reserved to Myself. Template Edited by Cik Rose Cute