My Journey to get Normal Weight

LilySlim Weight loss tickers

Welcome to my Blog


Sunday 30 June 2013

Agar Berpisah Tidak Gelisah

Sukar untuk saya menggambarkan rasa hati. Kerana itu, saya sering tersenyum, berfikir dan mencari makna tatkala keputusan EGTUKAR yang dinantikan sudah dijangka...GAGAL .

Berjauhan dengan suami bukanlah perkara baru bagi saya, kerana 2 bulan selepas ijab kabul, kami sudah terpisah utara-selatan mengharungi hidup masing-masing. Seorang di selatan (Johor)..seorang di utara (Perlis).

Sehinggakan..saya mengandung anak pertama pada ulang tahun 1 perkahwinan....saya sudah biasa mengharungi saat berjauhan ini..episod permulaan penuh rendaman air mata hinggakan baby dalam kandungan pun jd merajuk ble ibunya selalu sedih.

Namun, kini ...memasuki ke tahun 2013 dari tahun mula 2010 berjauhan...membuatkan saya lebih kuat, positif dan bersemangat..Meskipun EGTUKAR kali ini gagal..saya seakan merasa teguh...mungkin kerana cahaya mata sulung kami tetap di hadapan saya kini...meski saya terpaksa memandu 1 jam setengah setiap hari dr JB ( tempat tinggal ) ke sekolah di Rengit,Batu Pahat turun highway Simpang Renggam. Kehadiran keluarga di sisi meski ada di JB,bukan di rengit turut menguatkan fungsi jiwa saya kerana saya selalu berfikir

"alhamdulillah..Allah masih memberikan aku keluarga di sisi meski jauh dr suami,"

Malah, saya selalu memuhasabahkan diri saya tatkala mengenang rakan-rakan yg mungkin lebih derita episodnya dr saya.

Ada juga yg mengeluh kesah ble mendengar setiap hari saya ulang alik 1 jam setengah.

"Ya...memang penat...tapi demi anak..saya kuatkan hati mengharungi.bagi saya, saya memang tak boleh jauh dr anak..pepun yg terjadi...saya mesti lebih kuat ble lihat wajah anak....,"

Di sebalik itu..tuntutan sebagai anak tatkala melihat ibu sendiri menjaga anak bagai menatang minyak yang penuh...adakala membuatkan air mata saya tumpah sesekali. Apa tidaknya....demi perjuangan di sekolah...melengkapkan segala tugas & jwtn di sekolah...kelewatan saya tiba di rumah ..paling lewat jam 4/5 petang (jika mesyuarat)..pasti meresahkan seorang ibu...

Di sinilah saya memikirkan perlunya saya berusaha menjalankan tugas sbg anak yg solehah kpd ibunya. Betapa besarnya pengorbanan seorang ibu tak terbalas oleh saya.
 
Untuk suami..... setiap kali berjauhan, perasaan rindu tidak juga memudar, malahan semakin menebal berbanding kali pertama dahulu. Mungkin benar, semakin lama hidup bersama, mengharungi susah dan senang sepanjang usia perkahwinan, membuatkan dua hati kian dekat, biarpun jarak tujuh lautan memisahkan.

Saya yakin, isteri mana yang hatinya tidak merindui suami yang jauh di mata. Namun, saya akui perpisahan sementara antara saya dan suami yang hanya sebulan, pasti tidak terbanding perpisahan pasangan suami isteri yang menempuh perhubungan jarak jauh ( PJJ ). Berpisah bukan sehari dua, tetapi memakan masa yang menjangkau bertahun lamanya. Paling kurang pun, suami dan isteri bertemu melepas rindu hanya di hujung-hujung minggu.

Persoalan berkait perhubungan jarak jauh ini pernah dihadapkan kepada saya. Ia bukan hubungan cinta bagi mereka yang belum bernikah, tetapi kepada pasangan yang telah pun melafaz akad sebagai suami isteri yang halal dan sah. Dan berpisah yang dimaksudkan bukanlah bercerai, tetapi hidup berjauhan antara suami isteri atas sebab-sebab kerjaya, menuntut ilmu dan seumpamanya.

Saya cuba memahami situasi hari ini dengan berbual dan meminta pandangan rakan-rakan yang lain. Kesimpulannya, keadaan ini bukanlah penghalang untuk suami isteri menjalinkan ikatan yang harmoni. Berjauhan atau tidak, ia bukan jaminan keutuhan sesebuah mahligai perkahwinan. Jarak sama sekali bukan penghalang bagi mencipta mawaddah, rahmah dan sakinah di dalam sesebuah rumahtangga. Asal saja kemahuan dan usaha membaja cinta dilakukan dengan saksama oleh suami dan isteri, ketiga-tiga elemen penyeri itu akan tetap subur mewangi.



YANG MANIS 

Saya juga sempat membaca pandangan mengenai ini daripada Pensyarah Jabatan Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Khaidzir Ismail menerusi kolum Pesona di Kosmo! Online.

Menurut beliau, hubungan jarak jauh ini sebenarnya, jika difikir dari sudut positif adalah lebih manis.

"Ia ibarat jauh di mata, dekat di hati. Pasangan yang terlibat akan semakin rindu antara satu sama lain kerana berjauhan rentetan timbul rasa kehilangan dan kekosongan.

Rasa kehilangan itu ditebus dengan berutus surat, menghantar e-mel, menelefon. Tetapi bahayanya perhubungan ini adalah, jika terlalu lama berjauhan dikhuatiri kasih sayang mula pudar," katanya.

Memang benar, andai dilihat dari sudut positif, perpisahan yang terjadi mampu menatijahkan kebaikan. Ketiadaan pasangan dirasakan bagai satu kehilangan. Perginya diiring doa, pulangnya ditunggu penuh setia. Saat jauh di mata, rasa rindu bertandang, menjadi tali kepada dua hati untuk saling mengenang. Menambah kasih, merimbun sayang.

Inilah manisnya perpisahan sementara.

Akan tetapi, jika lalai dan cuai dalam menanganinya, ia sangat berpotensi menjadikan jarak perhubungan sedia ada kian ketara jauhnya. Semakin sepi dan dingin. Cinta tidak menggebu. Rindu bukan lagi pengikat untuk bertemu.

Sudahlah jauh dari pandangan mata, jauh juga dari jiwa!



RENUNGAN : UJIAN DAN CABARAN

Jujurnya, saya cuba melihat persoalan hubungan jarak jauh ini dari sudut yang agak berbeza.

Sebagaimana pasangan suami isteri yang berdepan perselisihan, poligami dan perceraian, mereka yang mengalami perhubungan jarak jauh ini juga sebenarnya sedang berdepan dengan ujian. Ujian dalam kehidupan. Cabaran dalam memaknakan ikatan perkahwinan.

Dan ujian ini boleh menjadi berganda cabarannya jika jalan-jalan yang dilalui dalam mengisi dan memaknakannya lebih banyak membawa kepada perselisihan sehingga menatijahkan poligami atau perceraian. Keadaan ini tidak mustahil, dan banyak yang telah melaluinya lantaran kedua-dua pihak memandang ringan terhadap usaha-usaha ‘mengikat’ kemas ikatan yang telah mereka jalinkan atas nama Allah.

Saya melihat ini sebagai sesuatu yang besar, lantaran menurut penilaian saya, sebab utama yang menjadikan perhubungan jarak jauh ini sebagai ‘trend’ hidup masa kini adalah kerana desakan kewangan demi menstabilkan ekonomi keluarga, membayar hutang pinjaman pelajaran, untuk membantu ibu bapa dan adik beradik yang masih belajar dan sebab-sebab lain lagi sehingga ramai para isteri rela atau terpaksa berpisah daripada suami tercinta kerana perlu bekerja jauh.

Tambahan pula, bila mana isteri yang bekerja jauh ini sukar mendapat kelulusan pertukaran tempat berkhidmat, atau tidak sanggup bertukar kerana sayang dengan suasana kerja yang telah lama diperolehi, atau seumpamanya.

Pelbagai sebab dan punca menjadi pemisah dua jiwa, dan keadaan inilah yang sewajarnya dijadikan renungan bersama.

BENARKAH INI TAWAKAL?

Justeru itu, perkara utama dan pertama perlu diperhatikan, ialah keyakinan dan tawakal kepada Allah SWT. Ramai manusia yang lupa untuk memantapkan aspek ini di dalam kehidupan. Sebagai hamba Allah SWT yang berusaha meraih kesejahteraan hidup di dunia, manusia sering memohon untuk mendapatkan kejayaan, penghasilan dan kemewahan.

Dan itu bukanlah satu kesalahan, bahkan Allah SWT sendiri menganjurkan hamba-hamba-Nya untuk memohon apa-apa pun kebaikan kepada-Nya, beserta janji bahawa DIA akan memenuhi permohonan mereka.

Firman Allah SWT :

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ


Maksudnya : “Dan Tuhanmu berfirman: ""Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.” ( Surah Ghafir ayat 60 )


Malangnya, realiti yang melata, tindakan kebanyakan manusia selalu tidak selari dengan doa dan permohonan yang dipinta. Ramai lebih cenderung mencari harta yang sementara sehingga mengabaikan sesuatu yang lebih utama, antaranya memilih untuk tidak bersama ‘harta’ yang lebih bernilai iaitu keluarga, dengan hidup bersama walau serba sederhana.

Mereka lebih merasa selesa ketika beroleh penghasilan yang besar, baik melalui kerjaya atau tugasan lainnya, bukan karena merasa memiliki Allah yang Maha Pemberi Rezeki, sebaliknya lebih cenderung untuk yakin dan ‘berserah diri’ kepada pihak atasan yang dirasakan memberi imbuhan dan gaji. Malahan, ada yang menganggap merekalah yang menentukan nasib, merasakan mereka yang menentukan kenaikan pangkat, pendapatan, juga beranggapan merekalah yang memberikan sebarang posisi yang diinginkan.

Kehidupan bersama keluarga dikesampingkan dengan anggapan ia tidak memberi nilaian pangkat, wang dan harta yang menjanjikan kesenangan. Inilah gerak ‘rasa’ yang tersasar dan amat menguji.

Oleh itu, pasangan yang sanggup menempuh hidup berjauhan, terutama kepada para isteri yang bekerja jauh dari suami, semata-mata dengan tujuan mendapatkan wang yang lebih, perlu kembali menilai tahap tawakal mereka kepada-Nya. Jika merasakan hanya dengan kewangan yang utuh lebih menjamin masa depan yang lebih senang dan cemerlang, maka di sinilah bermula ‘salah’ penafsiran terhadap sifat tawakal dan redha yang sebenarnya kepada Tuhan.




TAWAKAL YANG BENAR 
 
Sewajarnya, niat bersulam tawakal yang benar ketika hidup berjauhan ini sentiasa disematkan iaitu dengan berusaha sebaiknya sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah. Menjaga halal haram dan menjauhi yang syubhah agar sebarang imbuhan yang diperolehi disinari barakah dari Allah, seterusnya dapat melangsaikan apa-apa tujuan yang menjadi penyebab mereka suami isteri hidup berpisah.

Jiwa seorang hamba Allah yang melafazkan tawakal yang benar, ialah yang mengetahui dan menyedari bahawa setinggi manapun pangkat, kedudukan atau jawatan dan sebanyak manapun imbuhan, gaji dan pendapatan, ia bukanlah satu persoalan yang besar dan mengusutkan fikiran, selama dia menyedari dan menginsafi bahawa dia masih memiliki kedudukan di sisi Allah ar Rahman. Pergantungannya yang sebenar hanya kepada DIA Yang Maha Pemberi Kurniaan.

Firman Allah SWT :

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًاوَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Maksudnya : “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. “ ( Surah at Thalaq ayat 2 – 3 )
 
Justeru itu, pasangan yang mengerti dan memiliki kefahaman sebegini, mereka akan segera mencari jalan untuk kembali bernaung di bawah bumbung yang sama, setelah sebab-sebab yang menjarakkan hubungan mereka suami isteri berjaya diharungi atau dilunasi.

Mereka menginsafi, bahawa sunnatullah di dalam perkahwinan adalah suami melindungi isteri, manakala syari’at juga menekankan, tempat seorang isteri adalah untuk berada di sisi suami. Dua keadaan ini amat sukar dijayakan andai suami dan isteri tidak duduk sekali.



KISAH SAYYIDINA UMAR 
Saya teringat kepada suatu kisah di zaman Sayyidina Umar Al khattab.


Suatu ketika Umar, sebagai seorang Khalifah yang amanah dan bertanggungjawab, melakukan rutin rondaan malam. Ketika beliau melewati sebuah rumah, tiba-tiba terdengar dari dalamnya, suara seorang perempuan sedang bermadah. Nadanya merintih, membayangkan jiwanya yang sedih dan pedih:


“Sungguh malam ini sangat panjang, sekelilingnya penuh kelam. Situasi ini menjadikan aku tidak baik, kerana tidak ada kekasih yang bisa kuajak bermain. Demi Allah, seandainya aku tidak takut azab dan akibat, sungguh ranjang ini akan bergoncang hebat.”



Mendengar itu, Umar berusaha untuk menyelidiki kisah si perempuan dengan rintihannya yang lirih. Akhirnya diketahui, bahawa suaminya telah meninggalkan rumah sekian lama sebagai mujahid di medan jihad.


Umar kemudian menanyakan puterinya Hafsah, berapa lama seorang isteri mampu bersabar diri dari suami ? Jawab Hafsah: empat bulan. Waktu itulah Umar melaksanakan satu ketetapan dan peraturan, bahawa seorang suami tidak boleh meninggalkan isterinya lebih dari empat bulan.


Perlu diingat, objektif yang digariskan oleh syari’at melalui perkahwinan tidak mampu disempurnakan sebaiknya tanpa suami isteri hidup bersama. Bukan sekadar memenuhi tuntutan batin semata-semata, tetapi juga untuk mengisi naluri kemanusiaan yang selalu ingin dikasihi, diambil berat, dibelai dan dirawat.


ACUAN PERCAYA

Selanjutnya, perkara kedua yang tidak kurang pentingnya dalam perhubungan jarak jauh ini ialah kejujuran diri dan kepercayaan terhadap pasangan. Tanpa jujur dan percaya, ramai pasangan akan kecundang mempertahankan keindahan perkahwinan. Ia umpama baja yang menyuburkan cinta. Semekar mana pun cinta, ia akan layu tanpa dibajai kejujuran dan percaya.

Richard Templar ada menyentuh hal ini di dalam bukunya, The Rules Of Love. Templar menegaskan :

“Trust is an absolute essential between partners. It doesn’t matter whether you’re talking about being faithful, sticking to promises, keeping spending within what you can afford, or anything else. If you can’t trust your partner, you’ll never be happy.”

Walaubagaimanapun, di dalam Islam, kepercayaan setiap pasangan harus berteraskan acuan agama. Tanpa acuan agama, sebarang usaha kepercayaan yang dilaksanakan tidak mampu membuahkan 100% rasa percaya yang benar-benar diyakini. Tanpa sedikit pun sangsi, tiada lansung gerak naluri bahawa pasangan mahu menyelidiki atau mengintipi.

Justeru itu, seorang isteri yang jauh dari suami harus menghadirkan kepercayaan kepada suami dengan sentiasa menjaga maruah diri, berpakaian sopan, sempurna menutup aurat, tidak keluar tanpa tujuan dan hala serta selalu memastikan pergaulan dengan rakan sekerja lelaki hanya sebatas yang perlu sahaja. Bercakap, berurusan dan lain-lain kerana tugas dan tidak lebih dari itu. Sebarang tindakan yang boleh mengundang fitnah, sedaya mungkin disesah. Bimbang, andai ada mata dan mulut yang hasad menyampaikan sesuatu yang tidak benar sehingga mencetuskan perselisihan, sekaligus memudarkan kepercayaan.

Sementara kepada para suami pula, perkara-perkara berkaitan isteri hendaklah sentiasa ada ‘up-date’ terkini. Tidak lengah dan tangguh untuk menasihati gaya dan keterlanjuran isteri dalam berpakaian, penampilan dan pergaulan di samping mereka juga mesti menjaga batas hubungan dengan wanita lain terutama rakan sekerja.



BUKTIKAN UPAYA CINTA

Jika kejujuran dan kepercayaan terhadap pasangan hadir sepenuhnya, barulah kestabilan emosi sentiasa berada di tahap yang tinggi, walau yang disayangi tiada di sisi.

Setelah itu, barulah mempertingkatkan upaya dan ikhtiar berbentuk teknikal demi memastikan rasa cinta dan kasih terhadap suami atau isteri sentiasa mekar dan merimbun di dalam hati.

Ini termasuklah sering berhubung dan mengemaskini ‘laporan’ kehidupan masing-masing, sama ada melalui perbualan di telefon, sms, emel atau lain-lain medium perhubungan yang canggih dan terkini.

Selain itu, buktikan juga upaya cinta kepada pasangan dengan mempertingkatkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam menjayakan sesuatu perkahwinan. Contohnya, di pihak isteri memperbaiki kemahiran memasak dan menghias diri buat tatapan suami yang dikasihi, manakala di pihak suami pula melengkapkan ilmu dan maklumat untuk mendidik diri dan keluarga, juga usaha daripada kedua-duanya dengan kemahiran keibubapaan bagi melengkapkan pengetahuan sedia ada untuk menjadi ibu bapa yang berjaya.



AGAR BERPISAH TIDAK GELISAH
 
Akhirnya, saya meyakini, setiap pasangan yang berkahwin sentiasa ingin didampingi suami atau suri hatinya. Selalu mengimpikan mahligai indah yang dibina, dihiasi gelak tawa yang ceria. Menatap wajah insan yang dicintai, memegang jari-jemarinya yang halus berbudi.


Dekat di mata, lebih dekat di hati.

Justeru itu, perbincangan dan perancangan sebaiknya perlu ada agar perhubungan jarak jauh ini tidak melewati suatu tempoh yang lama. Gusar, jemu dan bosan akan hadir tanpa dipinta, selain ia juga tidak menepati kehendak sebenar agama.

Namun, dalam saat melewati hidup berjauhan, renung dan berusahalah untuk 3 perkara yang utama:

1) Tawakal yang benar
2) Acuan percaya
3) Buktikan upaya cinta

Agar berpisah tidak gelisah, kerana perpisahan tidak sesekali menghadirkan resah, perpisahan adalah penantian, menanti saat kembali bergandingan.

Saya kembali meneliti dan menghayati status saya di FB :

“Penantian satu ujian, penantian satu renungan, penantian satu kesyukuran, penantian bukti kecintaan.”

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.




Renungan muhasabah diri,
 


Terima Kasih Sudi Baca story Tinta Pelangi Mia Zara Ina

0 comments:

 
♥ Copyright © 2013 reserved to Myself. Template Edited by Cik Rose Cute